Header Ads

Skandal Banglo RM2.8 Juta, Guan Eng Perlu Benarkan Siasatan SPRM


Ketua Menteri Pulau Pinang perlu membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan di dalam isu pembelian rumah jenis banglo kepunyaannya, kata Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), Zulkifli Mohd Noor.

Katanya, siasatan ini perlu ekoran ada pihak yang membuat laporan polis yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu dan perkara ini perlu diperjelaskan.

“Semua perkara yang mempunyai kaitan perlu di teliti bukan sahaja mengenai harga pasaran dan jika harga yang dijual tidak logik maka ia perlu di siasat.

“Selepas itu mengenai berapa harga ubah suai rumah keseluruhannya yang telah dibuat dan adakah ia telah diluluskan kerajaan tempatan sebelum ia dijual.

“Kemudian semua jumlah ini kita hendak bandingkan dengan harga pasaran termasuk kos ubah suai rumah dan baru kita tengok berapa harga pasaran pada hari ini,” katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.

Tambah Zulkifli jika harga pasaran menunjukkan perbezaan yang begitu tinggi maka mana-mana pihak mempunyai sebab mempersoalkan kenapa harga rumah itu dijual begitu rendah.

Beliau mengulas dakwaan Guan Eng bahawa transaksi pembelian rumahnya di Jalan Pinhorn yang berharga RM2.8 juta itu dibuat secara rela hati antara pembeli dan penjual tanpa sebarang paksaan.

Menurut Guan Eng transaksi itu berasaskan kesanggupan secara bebas dan rela hati di antara beliau dan penjual rumah jenis banglo dua tingkat berusia 30 tahun itu.

Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) Datuk Shabudin Yahaya yang juga anggota Parlimen Tasek Gelugor telah meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta (JPPH) untuk membuat penilaian berhubung hartanah berharga RM2.8 juta yang dibeli oleh Guan Eng di Jalan Pinhorn, sedangkan nilai semasa rumah tersebut dikatakan lebih RM3 juta.

Shabudin turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat dakwaan penjualan beberapa lot tanah di Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

No comments