KUALA LUMPUR: Polis sudah membuka kertas siasatan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad mengikut Akta Hasutan. Mengesahkan perkara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamad, berkata tindakan terbabit perlu diambil selepas bekas Perdana Menteri itu mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan dengan tujuan menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri, ketika berucap pada majlis di Ampang, semalam. Nur Jazlan berkata, Dr Mahathir akan melakukan lebih banyak kesilapan jika terlalu kerap membuat kenyataan. "Beliau bercakap kepada umum dan cuba untuk lakukan perkara 'di luar jangkaan' yang melangkaui Perlembagaan. "Tidakkah tindakan itu boleh dianggap sebagai menghasut atau khianat? "Pihak polis sedang siasat dan lebih banyak beliau (Dr Mahathir) cakap, lebih banyak bahan untuk polis siasat. Jika siasatan menunjukkan beliau melanggar undang-undang, tindakan akan diambil," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini. Nur Jazlan berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada tindakan akan diambil terhadap bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri paling lama itu berikutan perbuatannya terus mengkritik kerajaan pimpinan Najib. Dalam perkembangan lain, Nur Jazlan berkata kerajaan bercadang meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) bagi memastikan tiada pihak memperlekehkan undang-undang terbabit. Katanya, pindaan itu antara lain memperuntukkan hukuman lebih berat bagi memastikan tiada pihak berani mendedahkan dokumen sulit kerajaan. "Kerajaan nak pinda OSA supaya semua pihak bertanggungjawab terhadap dokumen dan maklumat yang diklasifikasikan sebagai OSA benar-benar faham," katanya. Beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen Pandan daripada PKR, Rafizi Ramli, yang mendedahkan dokumen kerajaan dilindungi mengikut OSA yang mengaitkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). Terdahulu, Nur Jazlan mengesahkan polis akan membuka kertas siasatan berhubung tindakan Rafizi kelmarin yang mendedahkan satu salinan muka surat Laporan Ketua Audit Negara yang belum dibentang di Dewan Rakyat.
Post a Comment