Header Ads

Buat Pilihan Bijak, Undi Calon 'Pasukan Adenan' Esok - NGO Pro BN




KOTA KINABALU - Pakatan NGO Pro Barisan Nasional (BN) meminta rakyat Sarawak agar membuat keputusan bijak dengan mengundi semua calon "Pasukan Adenan" pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11, esok.

Presidennya Zulkarnain Mahdar berkata kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem wajar terus diberi sokongan untuk meneruskan kesinambungan pelan pembangunan untuk manfaat rakyat Sarawak sendiri.

"Ketegasan Tan Sri Adenan di dalam memperjuangkan hak rakyat Sarawak agar terus terbela sewajarnya tidak diambil ringan oleh para pengundi. Penurunan kuasa kepada Sarawak oleh kerajaan Persekutuan juga sebagai bukti bahawa Tan Sri Adenan perlu terus dibantu dengan memberikan kemenangan yang besar di semua kerusi sebagai solidariti rakyat kepada perjuangan Tan Sri Adenan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zulkarnain, walaupun baru dua tahun memimpin Sarawak, Adenan telah berjaya membawa banyak manfaat langsung kepada rakyat dengan terzahirnya Projek Pan Borneo bernilai berbilion ringgit, menurunkan kadar tarif elektrik, menurunkan kadar tambang feri dari RM5/RM10 kepada RM1 dan menghapuskan tol jambatan Lanang dan Baram.

Katanya Ketua Menteri Sarawak itu juga mengecualikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi perkhidmatan majlis bandaran selain menjuarai isu memerangi pembalakan haram di negeri itu.

Zulkarnain mengingatkan pengundi Sarawak bahawa memberi undi kepada parti pembangkang tidak akan mengubah landskap politik negeri itu kerana tidak ada satu parti pembangkang pun bertanding melebihi 42 kerusi pada pilihan raya negeri itu kali ini.

"Sedangkan dari segi logiknya setiap parti bertanding perlu menang melebihi 42 kerusi barulah mereka boleh mentadbir kerajaan namun sebaliknya kesemua parti hanya bertanding kurang daripada 32 kerusi.

"Ini sekaligus menunjukkan pembangkang tidak mempunyai hala tuju membantu rakyat sebaliknya mereka sekadar mahu merosakkan agenda pembangunan yang sedang dirancang untuk manfaat rakyat Sarawak," katanya.


- BERNAMA