Di Pecat DAP: ADUN Teluk Datuk Tunggu Surat Rasmi Parti
ADUN Teluk Datuk, Loh Chee Heng mengakui telah menerima surat pemecatannya melalui e-mel.
Bagaimanapun, beliau bertegas hanya akan membuat perancangan masa depan selepas menerima surat pemecatan melalui kiriman pos.
Beliau ketika dihubungi Sin Chew Daily hari ini bertanya kepada wartawan: “Anda rasa surat pemecatan yang dihantar melalui e-mel (rasmi) ke? Saya akan tunggu sehingga terima surat rasmi.”
Jelasnya, beliau akan hadir ke pusat khidmatnya seperti sedia kala untuk berkhidmat dan menguruskan aduan rakyat.
Malah, beliau akan memut naik masalah yang dihadapi rakyat ke Facebooknya.
“Walaupun ada yang meminta saya letak jawatan sebagai ADUN, namun masih ada yang berharap saya terus berkhidmat.
“Buat masa ini saya belum putuskan, jadi saya akan terus pergi ke kawasan (DUN) untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Ditanya jika beliau akan menyertai parti lain, jelasnya segala keputusan akan dibuat selepas mendapat surat pemecatan rasmi daripada DAP.
Sabtu lalu, Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua dilaporkan sebagai berkata, satu laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap Chee Heng pada Rabu lalu.
Chee Heng dipecat DAP serta-merta kelmarin selepas Jawatankuasa Disiplin DAP memutuskan wujud “bukti salah laku serius” susulan siasatan dalaman sejak lapan minggu lalu.
Tony berkata, pucuk pimpinan negeri menerima aduan daripada ahli-ahli parti mendakwa berlaku penyalahgunaan dana negeri yang diperuntukkan kepada DUN Teluk Datuk. - FMT
Post a Comment