Header Ads

Kerajaan Fokus Enam Tindakan Lahir Pekerja Lebih Berdaya Saing - PM Najib



Kerajaan sedang melaksanakan enam tindakan untuk melahirkan golongan pekerja yang lebih berdaya saing dalam menggerakkan ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata enam tindakan itu meliputi pelbagai aspek termasuk meningkatkan kemahiran serta meningkatkan pendapatan golongan pekerja.

Beliau berkata bagi tindakan pertama, kerajaan sedang mentransformasikan mekanisme permintaan dan penawaran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), khususnya bagi memenuhi keperluan 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan baharu yang memerlukan kelayakan TVET menjelang 2020.





Najib melancarkan aplikasi 'i-Perkeso' pada majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2016 di PWTC. Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem

"Antara langkah terbaharu kerajaan termasuk pengiktirafan kelayakan kemahiran dalam skim-skim perkhidmatan awam khususnya bagi Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran," katanya ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaan 2016 di sini, Ahad.

Tindakan kedua pula, Najib berkata, kerajaan sedang merekayasa program latihan kemahiran agar lebih relevan dan bersepadu bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir.

Najib berkata kerajaan juga akan terus menyediakan kemudahan pinjaman kepada pekerja yang berhasrat mempertingkat kemahiran sama ada melalui program peningkatan tahap kemahiran (upskilling), latihan semula kemahiran (reskilling) atau latihan kemahiran baharu bagi menyokong kemahiran sedia ada (multiskilling).

"Antara kemudahan pinjaman yang disediakan adalah melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Kemahiran (PTK) pada kadar RM750 hingga RM24,000, bergantung kepada program dan bidang latihan," katanya.

Tindakan ketiga pula, katanya, kerajaan sedang menambah baik undang-undang perburuhan dan amalan perhubungan perusahaan termasuk penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang membuka peluang lebih besar kepada usahawan dan pelabur tempatan meneroka pasaran baharu di 11 buah negara TPPA.

"TPPA ini tidak hanya tertumpu kepada aspek ekonomi dan perdagangan sahaja, malah turut mengandungi Bab Buruh yang memastikan sebarang aktiviti perdagangan dan pelaburan tidak menjejaskan hak dan kebajikan pekerja," katanya.

Tindakan keempat, Najib berkata kerajaan menjangkakan agihan pendapatan yang lebih adil antara pemilik modal dan pekerja susulan daripada pematuhan gaji minimum yang lebih menyeluruh, penambahbaikan produktiviti serta program Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (RPL) serta penambahbaikan gaji siswazah TVET. "Langkah ini dijangka menyumbang kepada peningkatan gaji penengah bulanan daripada RM1,575 pada tahun 2014 kepada RM2,500 pada 2020," katanya.

Bagi tindakan kelima pula Najib berkata jaringan keselamatan sosial diperkasakan seperti membangunkan satu aplikasi mudah dalam talian yang mesra pengguna 'i-PERKESO' (Pertubuhan Keselamatan Sosial) bagi membolehkan pekerja berhubung terus dengan agensi itu.

Selain itu, kerajaan juga sedang mempertimbangkan pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) untuk menambah baik perlindungan sosial pekerja dan memudah cara pihak majikan menjalankan perniagaan, katanya.

Tindakan keenam pula ialah berkaitan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2016-2020 yang merupakan kesinambungan pelan terdahulu.

Najib berkata pelaksanaan pelan sebelum ini berjaya menurunkan bilangan kemalangan daripada 49,598 kes pada 2006 kepada 42,148 kes pada 2014 manakala kadar kemalangan maut menurun daripada 7.24 peratus kepada 4.21 peratus pada tempoh yang sama.

Sambutan itu dihadiri 7,000 warga kerja melibatkan 300 kontinjen dari jabatan kerajaan, sektor swasta dan kesatuan sekerja yang mewakili 14 juta tenaga kerja di negara ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda.


-- BERNAMA