Header Ads

#PRK Sungai Besar: Peluang BN Kekalkan Kerusi Bila Pembangkang mula berebut





SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) dijangka berdepan saingan lebih daripada satu parti pembangkang apabila Parti Amanah Negara (PAN) turut menyatakan hasrat meletak calonnya selepas PAS mengesahkan untuk berbuat demikian. 
Ketua Pemuda PAN Selangor, Abbas Azmi, berkata pihaknya mempunyai beberapa calon yang semuanya mempunyai kelebihan tersendiri dan diyakini diterima masyarakat setempat. 
"Pemuda PAN negeri akan mencadangkan calon parti ini dipilih mewakili Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Parlimen Sungai Besar. 
"Calon PAN wajar diberi laluan untuk mewakili PH dalam PRK ini. Kami bersedia dengan apa juga kemungkinan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 
Abbas berkata, gerak kerja bertemu masyarakat dan pengundi sudah dimulakan, termasuk memberi bantuan makanan asas kepada fakir miskin, edaran risalah bagi memperkenalkan misi dan visi PAN serta melaksanakan program kemasyarakatan. 
Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata parti itu akan mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Besar daripada sekutu PH. Iskandar berkata, calon PAS lebih layak bertanding berbanding DAP, PKR atau PAN, malah menegaskan ia secara tradisi adalah milik PAS sejak 1990-an. 
Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon, yang terkorban dalam nahas helikopter Eurocopter AS350 di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu. Noriah yang juga Timbalan Menteri Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, menjadi Ahli Parlimen Sungai Besar selama tiga penggal sejak tahun 2004.