Header Ads

Alahaiii ...Kerbau Pun Diseludup Masuk.

kerbau

TUMPAT – Bukan sahaja dadah diseludup ke negara ini, malah kerbau pun cuba dibawa masuk.

Bagaimanapun, cubaan satu sindiket menyeludup masuk 20 ekor kerbau bernilai RM100,000 ke Malaysia dari Thailand berjaya digagalkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dalam satu serbuan di Kampung Pisau Raut, Kuala Jambu di sini semalam.

Serbuan yang dilakukan pada pukul 3 pagi itu hasil daripada maklumat dan risikan yang dijalankan oleh anggota Unit Rondaan Marin PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.

Pegawai Pemerintahnya, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd. Rahman berkata, setelah melakukan intipan hampir sejam setengah,­ anggotanya yang menggunakan teropong khas ternampak beberapa lelaki sedang menarik beberapa kerbau dari sebelah jalan raya Kampung Derdap menghala ke kawasan bendang.

“Sebaik tiba di kawasan Kampung Pisau Raut, sekumpulan lelaki terbabit kemudian­ menambat kerbau-kerbau berkenaan di kawasan semak berhampiran.

“Menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, kesemua lelaki terbabit terus melarikan diri,” katanya pada sidang akhbar di Pangkalan PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dekat sini semalam.

Ahmad Amri memberitahu, pemeriksaan lanjut di kawasan berkenaan membawa kepada penemuan 20 ekor kerbau yang ditinggalkan.

“Kesemua kerbau itu kemudian dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Difahamkan, ternakan yang diseludup itu kebiasaan akan dijual di pasaran gelap.-Kosmo