Header Ads

SPR Terima 115,682 Permohonan Pendaftaran Pengundi Bagi Suku Kedua 2016



Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah menerima sebanyak 115,682 permohonan pendaftaran pengundi sepanjang tempoh suku kedua 2016.
Daripada jumlah tersebut, 93,530 merupakan pendaftaran pengundi baharu dan 22,152 lagi permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada pengundi sedia berdaftar dengan SPR.
“Selaras dengan kehendak Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku  kedua 2016 akan dipamerkan selama 14 hari mulai 2 hingga 15 Ogos di 963 tempat pameran di seluruh negara.
Sepanjang tempoh pameran berlangsung, pemohon yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu atau menukar alamat pusat mengundi pada bulan April, Mei dan Jun 2016 dinasihati menyemak RDPT Suku Tahun 2/2016.
Bagi permohonan pendaftaran baharu, jika pemohon mendapati namanya tidak tersenarai dalam RDPT itu, pemohon boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B dan diserahkan kepada pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja dalam tempoh pameran itu.
Bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam RDPT Suku Tahun 2/2016 di satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.
Seorang pembantah boleh membantah tidak melebihi 20 orang selaras dengan subperaturan 15 (3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftar Pemilih) 2002.
Bantahan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkaitan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja dalam tempoh pameran RDPT Suku 2/2016.
Semasa tempoh pameran RDPT itu, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih.
“Antara asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih ialah kerana mereka ini didapati tidak berhak untuk terus kekal di dalam daftar pemilih atas sebab-sebab tertentu antaranya ialah telah meninggal dunia atau lucut hak warganegara.
“Sehubungan itu, SPR menyeru kepada semua pemohon yang telah mendaftar dalam tempoh tarikh 1 April 2016 hingga 30 Jun 2016 supaya membuat semakan maklumat pendaftaran pemilih mereka di tempat-tempat yang dinyatakan,” kata Setiausaha SPR Malaysia Datuk Abdul Ghani Salleh menerusi kenyatan medianya kelmarin.
Sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT Suku Kedua 2016 boleh menghubungi ibu pejabat SPR melalui nombor telefon 03-88927000 atau menghubungi mana-mana laman sesawang SPR di www.spr.gov.my untuk menyemak senarai nama yang dipamerkan dalam RDPT suku kedua 2016