Bagaimana Orang Berdepan Tuduhan Rasuah Ajak Rakyat Lawan Rasuah?
BUKIT BENDERA, 17 Sept – Seruan Ketua Menteri Pulau Pinang agar seluruh rakyat Malaysia bersatu padu menentang amalan rasuah kerajaan Barisan Nasional (BN) serta dasarnya yang telah memusnahkan ekonomi negara dan meragut kebebasan bersuara ibarat menepuk air di dalam dulang terpercik ke muka sendiri, ujar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang Rafizal Abdul Rahim.
Jelas beliau dalam satu kenyataan media yang diedarkan, Lim Guan Eng seharusnya mencermin dirinya sendiri sebelum mengeluarkan kenyataan tersebut memandangkan dirinya sendiri sedang berhadapan dengan tuduhan rasuah.
“Hari Malaysia yang disambut semalam oleh seluruh rakyat negara ini seharusnya menjadi satu landasan terbaik bagi mengeratkan hubungan selain menjaga keharmonian hidup berbilang bangsa.
“Namun sayangnya, ia dicemari dengan politik murahan Dap. Seharusnya Guan Eng mencermin dirinya sebelum menudun BN rasuah memandangkan dirinya sendiri kini sedang berhadapan dengan kes rasuah iaitu dua pertuduhan membabitkan isu pembelian banglo di Jalan Pinhorn, dan permohonan pengezonan semula tanah pertanian dikemukakan Magnificient Emblem Sdn Bhd”, bidasnya.
Justeru katanya bagaimana orang yang sedang berhadapan dengan pertuduhan rasuah mahu menyeru rakyat menentang BN kononnya BN penuh rasuah.
“Ia ibarat ibu ketam mengajar anaknya berjalan lurus,” sindir Rafizal.
Tambah beliau lagi, rasuah yang teruk dalam parti Dap juga dibuktikan apabila bekas Naib Pengerusi Dap, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim pernah mendedahkan bahawa punca beliau keluar Dap pada Mei 2012 salah satunya disebabkan rasuah yang berleluasa dalam parti itu.
Jadi tegas Rafizal sebelum Guan Eng mahu menyeru rakyat agar menentang BN atas alasan rasuah, dia perlu membuktikan terlebih dahulu bahawa dakwaan Tunku Aziz adalah satu pembohongan.
“Jika Tunku Aziz menipu, mengapa sehingga kini Dap tidak berani untuk mengambil tindakan saman terhadap beliau.
“Tuduhan Guan Eng terhadap BN ini adalah satu tuduhan yang keterlaluan dan berniat jahat mahu menimbulkan huru-hara di kalangan rakyat. Ini semua adalah retorik Dap yang terkenal mengalih isu apatahlagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sudah semakin hampir.
“Mereka sebenarnya sudah ketandusan isu dan goyah apabila melihat kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak terus mendapat sokongan rakyat,” ujarnya.
Oleh yang demikian kata beliau Pemuda UMNO Pulau Pinang mencabar kepimpinan Dap agar membuktikan bahawa parti mereka sememangnya bebas rasuah.
Post a Comment