Mahathir Yang Suka Terlupa Sebenarnya Bukan Melayu Yang Mudah Lupa - Ketua Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2016 di Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini digemakan dengan rangkap perkataan ‘Melayu mudah lupa’ berulang-ulang kali.
Ia berikutan penggunaan perkataan itu oleh Ketua pergerakan berkenaan, Khairy Jamaluddin semasa menyampaikan ucapan dasar bagi membidas tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membuat pusingan U terhadap pegangan beliau satu ketika dahulu.
Sambil memberikan contoh-contoh menerusi tayangan klip video yang disahut oleh kira-kira 950 perwakilan, Khairy berkata, kesanggupan Dr. Mahathir berpusing 180 darjah dan membuat pusingan U itu bukan kerana prinsip, tetapi berkehendakkan kuasa sehingga matlamat menghalalkan segalanya.
“Beliau pun sendiri pernah berkata, Melayu mudah lupa. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu, Bersih dipertikai. Sekarang, merayu rakyat sertai Bersih. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu Soros dikritik, Sekarang, sertai demo yang dibiayai Soros.
“Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu lempar Anwar pelbagai tuduhan. Sekarang bersalaman bertukar senyuman, entah jujur atau tidak. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu, bila ditanya pasal reformasi. Sekarang mengejar tepukan di pentas lawan.
“Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu Mat Sabu dicaci dihina. Sekarang teman bergelak ketawa. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu konon pejuang bangsa. Sekarang seganding musuh bangsa.
“Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu pertikai kewujudan Keadilan. Sekarang, mesra dengan kepimpinannya, siap sahut Bebas Anwar. Melayu mudah lupa, Melayu Mudah lupa. Dulu, musuh dipersoal. Kini semeja, mengejar kuasa,” katanya.
Tegas Khairy dalam ucapannya lagi Melayu dalam dewan ini ingat sumbangan Tun, ingat solidariti parti mempertahankan Tun tetapi Melayu di dalam dewan ini juga ingat hipokrasi Tun.
“Juga ingat diktatorship Tun. Juga ingat kepincangan Tun. Juga ingat penyelewengan di zaman Tun. Juga ingat semua pemimpin yang dihina oleh Tun.
“Dan yang akan kami paling ingat, Melayu dalam dewan ini akan sentiasa beringat, adalah pengkhianatan Tun kepada perjuangan parti ini. Keghairahan Tun tubuh parti untuk melawan kami, Kesanggupan Tun menghina parti keramat ini. Kerakusan Tun membunuh parti UMNO ini,” ujarnya.
Post a Comment