Header Ads

Kukuhkan Perpaduan, Jadi Jurubicara Rakyat Dan Jangan Khianati Parti – Syaiful



Anggota UMNO diingatkan supaya sentiasa memelihara kepentingan rakyat dan mengukuhkan perpaduan dalam parti, jadikan persidangan UMNO di peringkat cawangan bermula Mac ini sebagai medan pengukuhan soladiriti ahli-ahli UMNO di seluruh negara, demikian menurut Ketua Pemuda UMNO Johor Bahru, Syaiful Rizal Abd Ghani.

Pada masa yang sama tegas beliau, sebagai ahli perlulah bersetia, dan jangan menjadi seperti “gunting dalam lipatan” yang secara senyap – senyap menyatakan sokongan kepada pembangkang khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang sibuk merekrut ahli-ahli baru dari kalangan ahli yang kecewa.

“Jangan nanti sudah terhantuk, baru terngadah.

“Kita seharusnya tidak boleh memandang ringan dengan anasir – anasir yang cuba memecahkan tembok kepercayaan rakyat terhadap UMNO seperti kita lihat sekarang, rata-rata anak muda melihat kononnya PPBM sebagai sebuah alternatif baru bagi mereka,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Justeru tegas beliau seluruh ahli parti mesti sedar keutamaan perjuangan UMNO dan BN adalah rakyat.

“Jadi, kita harus bekerja keras menambah bilangan keahlian serta mempergiatkan kempen daftar pengundi khususnya pengundi muda bagi memastikan kelangsungan parti dan bagi menjamin kemenangan BN pada PRU14 yang akan datang.

“Insiatif itu penting kerana sebagai pewaris kepimpinan parti dan negara, ciri-ciri pemimpin berwibawa amat penting bagi merealisasikan objektif tersebut.

“Kualiti lebih baik daripada kuantiti, kita kena rekrut lebih ramai orang-orang berkaliber kerana bagi saya bilangan ahli ramai bukan lambang kekuatan, sebaliknya komitmen dan kualiti yang diperlukan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama jelas beliau lagi serangan politik yang berterusan kepada UMNO ketika ini menuntut anggota bersama-sama barisan kepimpinan mempertahankan organisasi itu demi memastikan UMNO terus utuh dan dapat mengekalkan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

Tambahnya adalah amat penting solidariti dan kebersamaan ahli UMNO untuk bertindak seiringan dengan kepimpinan parti, sekali gus mempertahankan institusi politik negara yang bertanggungjawab bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi seluruh kaum di Malaysia.

“Sebagai sayap utama UMNO, pergerakan ini tidak berhenti bermain politik, sebaliknya sentiasa bertindak sebagai ‘penyelesai masalah’ bagai menjamin keutuhan parti keramat ini.

“Realitinya, formula pemerintahan negara berasaskan perkongsian kuasa ini adalah yang terbaik bagi landskap politik negara yang majmuk dan bertoleransi,” ujarnya lagi.-MediaUMNO