Header Ads

Kenapa DAP Masih Tidak Ambil Tindakan Terhadap Zaid Ibrahim

Image result for zaid ibrahim dan dap kurang ajar

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah hairan dan pelik dengan sikap membisu Dap yang sehingga ke hari ini masih belum mengambil apa-apa tindakan teradap ahlinya, Datuk Zaid Ibrahim berhubung kenyataan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj di media sosial baru-baru ini.

Menurutnya, melihatkan kepada perkembangan isu tersebut, Dap nampaknya mengambil sikap cuci tangan dan hanya berpeluk tubuh walaupun pelbagai pihak telah menyuarakan perkara terbabit agar tindakan sewajarnya diambil terhadap Zaid.

“Apa lagi yang Dap tunggu sehingga ke hari ini masih gagal mengambil apa-apa tindakan terhadap ahlinya dan apakah parti berkenaan sekadar bersikap tunggu dan lihat atau hanya memerhati daripada jauh perkembangan isu berkenaan.

“Pada saya inilah perkara yang menghairankan walaupun isu ini bukan sahaja tular di media sosial malah turut mendapat kecaman pelbagai pihak,” katanya kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Sebelum ini, Pegawai Publisiti Dap Selangor, Tony Pua dilapor membuat kenyataan berhubung perkara tersebut dan mendakwa kenyataan pemimpin Melayu Dap itu bersifat peribadi dan bukanlah suara parti.

Shamsul yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO seterusnya menegaskan atas dasar apa sekali pun Dap harus mengambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku itu bagi menunjukkan keseriusan mereka.

“Peribadi atau pun sebaliknya Dap perlu ada sedikit rasa kebertanggungjawaban dalam mendepani perkara berkenaan kerana Zaid adalah ahli parti berkenaan. Sekurang-kurangnya surat amaran atau sebaliknya. Tidak tahulah pula jika Dap ambil tindakan senyap-senyap,” katanya.

Sebelum ini, Zaid menerusi akaun Twitter miliknya mengeluarkan kenyataan berhubung titah Sultan Sharafuddin yang antara lain menegur Dr. Mahathir mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri itu menghina Bugis.

Menerusi kenyataan di media sosial itu, Zaid memberitahu Sultan Sharafuddin harus lebih berhati-hati dengan kata-kata baginda kerana tiada siapa yang kebal apabila negara terbakar.

Tindakan itu telah mengundang kemurkaan Sultan Sharafuddin yang turut menyifatkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebagai seorang yang biadab.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bagaimanapun mengesahkan bahawa Zaid sedang disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

No comments