BILA AHLI SENDIRI BERKATA DAP SUDAH TIADA PRINSIP DAN RELA DIPERBODOHKAN MAHATHIR
Perjuangan DAP didakwa sudah tersasar apabila menyokong pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Ahli DAP Kedah, Lee Guan Aik, berkata tindakan itu sekali gus menafikan prinsip DAP terdahulu, iaitu menolak sebarang kerjasama dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menjadi musuh tradisi politik parti.
Guan Aik yang juga bekas Pengerusi DAP Kedah berkata, ia antara lain membuktikan DAP kini hanya memberi keutamaan untuk mendapat kuasa, berbanding menjaga kepentingan akar umbi parti.
"Tindakan ini jelas bertentangan dengan prinsip parti. Ia juga bertentangan dengan pendirian mendiang Karpal Singh yang jelas menyatakan DAP perlu ada prinsip kekal dan berterusan, biar pun tiada musuh atau rakan politik yang kekal sepanjang perjuangan.
"Kata-kata mendiang Karpal ini jelas sudah dibuang ke dalam tong sampah apabila DAP kini menyokong Dr Mahathir, sekali gus mengetepikan prinsip parti," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Pakatan pembangkang semalam, mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri jika gabungan yang masih belum sah taraf itu berjaya menawan Putrajaya pada PRU-14 nanti.
Bagaimanapun, keputusan itu mengundang reaksi negatif akar umbi dan beberapa kepemimpinan tertinggi PKR, termasuk Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin serta Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin.
Pada masa sama, Guan Aik turut menyindir waris mendiang Karpal yang masih berada dalam kepemimpinan parti apabila ketiga-tiga anak bekas Pengerusi DAP itu gagal mendukung prinsip bapanya.
"Mereka (Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo; Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal) perlu ingat dan sematkan nasihat mendiang ayah mereka.
"Adakah mereka kini sudah tunduk dengan kata-kata dinasti Lim (Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng) hingga mengetepikan perjuangan asal parti," katanya.
Post a Comment