Header Ads

Naratif Politik Primitif Kuno Pakatan Harapan


PENULIS cukup gembira apa­bila Konvensyen Pakatan Ha­­rapan membuat ke­­te­ta­pan untuk meletakkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai ca­lon Perdana Menteri sementara untuk gabungan parti politik tersebut.

Gembira, kerana sekurang-kurangnya kita mengerti dan faham bahawa di dalam tem­purung politik Pakatan Harapan - prinsip, sen­di dan tonggak perjuangan boleh rabik dan rabak dalam sekelip mata kerana serakahkan kuasa.

Dr. Mahathir, pada suatu ketika ialah seorang yang amat dibenci oleh PKR dan DAP. Be­rilah apa sahaja alasan dan pandangan, beliau akan tetap dianggap sebagai pemimpin UMNO paling kejam dalam sejarah politik Malaysia.

Cukup ironi, seorang yang cukup dikenali sebagai diktator dan kejam, akhirnya diangkat secara berjemaah sebagai gemala dan batu sakti politik kepada Pakatan Harapan.

Tindakan ini pada hemat penulis, sebenarnya mencetuskan rasa ketidakpuasan hati yang bukan kecil dalam kalangan penggerak dan aktivis Pakatan Harapan.

Perjuangan mereka selama ini untuk menentang sebuah ke­pimpinan diktator dan drakonian rupa-rupanya sudah menjadi porak peranda.

Akhirnya, mereka sendiri menobatkan seorang man­tan diktator sebagai calon Perdana Menteri sementara. Pakatan Harapan akan terjerat dan terperosok dengan Naratif Politik Primitif baharu (kuno) dan usang ini.

Kalangan ‘jelmaan reformis’ di dalam Pakatan Harapan yang pernah bersungguh untuk nyahkan Dr. Mahathir sebagai pe­mimpin - bakal menjadi watak sampingan, kalangan budak kundang dan pengiring kepada pemimpin yang sama.

Kita boleh ba­yangkan betapa peritnya mereka untuk menerima ‘realiti politik’ kerjasama politik mereka yang baru ini.

Kita cukup yakin tidak mudah buat Pakatan Harapan untuk mempertahankan naratif politik yang bahari lagi primitif sifatnya.

Perjuangan hampir dua dekad kononnya dengan hembusan angin ‘reformasi’ dan perubahan, rupa-rupanya mendatangkan pe­nyakit ‘angin pasang’ ke dalam batang tubuh politik Pakatan Harapan.

Naratif Politik Kuno@Primitif baharu lagi usang ini boleh Barisan Nasional (BN) tangani dan hadapi dengan tenang dan yakin dengan izin Allah swt.

Rakyat Malaysia secara umumnya tidak boleh menerima pendekatan politik longgar prinsip seperti ini.

Apatah lagi beberapa butir ca­­dangan reformasi akhirnya ditogel sendiri dengan langkah me­namakan seorang Perdana Menteri sementara.

Ba­gaimana mungkin Pakatan Harapan bercakap mengenai 'keluhuran Per­lembagaan' apabila niat paksinya adalah melantik seorang Perdana Menteri sementara yang langsung tidak disebut di dalam Perlem­bagaan!

Pada hemat penulis, ini hanya­lah satu batu loncatan untuk menarik undi dan sokongan. Tidak lebih dari itu.

Penulis sama sekali tidak yakin bahawa seorang Perdana Menteri sementara atau tetap dalam kalangan kelompok Pakatan Harapan akan melaksa­nakan perkara ini.

Apabila jawatan sudah di atas riba, maka pembohongan dan penipuan lain akan ditonjolkan sebagai jalan selamat.

Pimpinan UMNO dan BN tidak perlu terlalu khuatir dengan penonjolan wajah politik kuno di dalam kerangka cadangan Pakatan Harapan. Tidak perlu. Malah kita tidak perlu beranggar lidah dan berperang mulut akan tindakan politik se­perti ini.

Fokus mesti ditumpukan kepada usaha memenangi hati dan minda rakyat. Tumpuan mesti dihalakan kepada usaha komunikasi berkesan bahawa strategi dan metode politik Pakatan Harapan sudah tidak relevan dengan masa dan zaman. Metode politik Pakatan Harapan ini akan bantat dengan sendirinya.

Kita mesti yakin dengan idea ‘transformasi’ yang dibawa oleh Perdana Menteri. Perubahan yang diinginkan sudah menzahirkan kesan yang ketara dan jelas.

Rakyat menerima impak dan kesan kebijakan dasar yang dibawa oleh kerajaan. Zaman ini bukan lagi zaman kita berpegang de­ngan retorik dan cakap kosong.

UMNO dan BN mesti memberikan iltizam dan naratif baharu dalam kepimpinan dan pentadbiran. Jentera UMNO dan BN mesti terus mendekati rakyat daripada segenap lapisan dan lapangan masyarakat.

Politik khidmat bakti masih membawa kesan yang luar biasa dalam kalangan masyarakat. Mereka pantas berasa selesa dan selamat apabila jentera politik kita sentiasa bersiap siaga dan bersungguh mendekati rakyat.

Denyut naratif politik baharu semestinya akrab dengan aspirasi anak muda. Idea TN50 sudah mengambil semangat dan keinginan ini. Suara anak muda yang disampaikan melalui medan ‘TN50’ mesti bijak dimanifestasikan oleh kerajaan dan pimpinan politik.

UMNO dan BN masih mempu­nyai kelebihan di dalam per­tembu­ngan naratif politik ini. Dengan terangkatnya Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara, ia membolehkan UMNO mempersoalkan banyak asas dan perkara.

Ini peluang UMNO untuk memulangkan ‘paku buah keras’ kepada keceluparan berlebihan pembangkang selama ini.

Penulis mahu katakan bahawa Mahathir, tidak lagi mempunyai cengkaman pengaruh kuku besi yang sama. Malahan, dalam konteks politik hari ini, beliau hanya menjadi sandaran sementara kepada Pakatan Harapan.

DAP sudah berulang kali mengatakan mereka tidak akan sesekali ‘melupakan’ Anwar - namun, rela sebantal de­ngan Dr. Mahathir bagi mendapatkan kuasa sementara.

PRU-14 akan menjawab segala-galanya. Kita harap benar, keputusan PRU-14 akan menidakkan sama sekali cubaan pihak ter­tentu untuk kembali ke persada kuasa.

Mereka akan akhirnya maklum, selut dan lumpur politik Pakatan Harapan rupanya jauh lebih kotor dan tengik. Belum pun beberapa hari Dr. Mahathir diumumkan sebagai calon sementara Perdana Menteri; lebih banyak mereka yang kecewa daripada mereka yang riang gembira.

Inilah tamparan politik paling padu kepada rakan-rakan penggerak reformasi selama ini. Tanpa sedar, mereka sedang berebut-rebut memalukan diri sendiri - kerana terpaksa menobat kembali seorang pemimpin yang amat mereka benci.

Luka lama pasti akan terkelupas dan tercarik sekali lagi. Kali ini, ianya menjadi lebih lekang kerana terpaksa dijilat dengan ludah sendiri.

Dato Shaiful Hazizy Zainol Abidin,
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah.

No comments