Strategi Dan Falsafah DAP Menguasai Malaysia
Sekiranya anda membaca buku-buku motivasi, pembangunan diri, strategi perniagaan, taktik perang, falsafah lama atau pandangan bijak pandai zaman dahulu, sama ada dalam buku Dale Carnegie, Sun Tzu, Lun Yu, atau dalam peribahasa-peribahasa tamadun kuno, anda akan menemui kebijaksanaan-kebijaksanaan yang sedang dipraktikkan oleh DAP hari ini.
DAP adalah sebuah parti politik yang jelas dan faham apa itu politik. Politik adalah seperti perniagaan atau pun peperangan yang mempunyai strategi dan falsafahnya sendiri.
Mereka tahu bagaimana untuk memasarkan diri dan mencapai matlamat mereka dengan menggunakan falsafah dan strategi bijak pandai ini. Tindakan-tindakan mereka sebenarnya telah lama diungkap oleh bijak pandai zaman dahulu.
Politik, dalam erti kata yang lain, adalah cara untuk mempengaruhi orang ramai menerima sesuatu perkara. Dalam konteks hari ini, DAP telah berjaya memasarkan diri mereka.
Dalam perniagaan, matlamat tidak boleh dipesongkan, walaupun cara-cara untuk mencapainya boleh berubah.
Matlamat asas DAP adalah menguasai politik negara ini dengan menyamaratakan semua rakyat. Menyamaratakan semua rakyat ini bermakna menghapuskan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu sebagai kaum bumiputera.
Suatu masa dahulu mereka berpakat dengan PAS, walaupun pada dasarnya kedua-dua parti ini jauh berbeza. Tentulah kerjasama ini tidak akan menjayakan cita-cita DAP untuk mensekularkan negara ini kerana PAS adalah sebuah parti agama.
Bagaiman keadaan itu sebenarnya? Ia adalah seperti ungkapan ini: bertindaklah mengikut keadaan dan selesaikan masalah satu persatu.
DAP pragmatik. Mereka realistik. Dalam keadaan ketika itu, untuk mencapai matlamat menguasai negara adalah sukar, mereka melakukan apa yang terbaik untuk waktu itu sahaja.
Masalah yang belum wujud tidak boleh diselesaikan. Masalah ketika itu adalah menjatuhkan UMNO. Mereka tidak nampak masalah untuk memerintah bersama PAS kerana mereka masih belum memerintah.
Jadi mereka tidak membuang masa memikirkan masalah yang tidak wujud, iaitu bagaimana mahu memerintah dengan PAS. Apa yang penting bagi mereka adalah menumbangkan kerajaan
Atas nama prinsip, apabila PAS tidak menuruti kehendak-kehendak mereka, hubungan itu dihentikan.
Sebenarnya mereka tidak akan menggadaikan prinsip mereka. Biar kalah asalkan tidak menggadaikan prinsip-prinsip mereka, kerana apa guna menang jika terpaksa menggadaikan prinsip-prinsip perjuangan.
Mereka boleh memenangkan PAS di kawasan-kawasan yang terdapat penyokong DAP kerana mereka tahu kemenangan PAS akan menguatkan pembangkang. Sebaliknya. PAS mendakwa kemenangan itu kerana perjuangan mereka mulai diterima oleh orang-orang bukan Islam, walhal ia sebenarnya suatu percaturan politik.
Ini seperti ungkapan “lihatlah hutan, bukan melihat pokok”. Mereka melihat secara keseluruhan. Mereka tidak melihat itu kemenangan PAS dalam skop yang sempit, tetapi mereka melihat itu suatu kemenangan DAP kerana kemenangan PAS akan menguatkan pakatan pembangkang ketika itu. Dalam konklusi mudah, pembangkang yang kuat adalah kemenangan DAP kerana mereka yang menguasai pembangkang.
Dalam perniagaan diajarkan untuk bertahan dan terus berusaha kerana kejayaan itu mengambil masa yang lama. Berniaga dan berpolitik bukan seperti menanam jagung.
Begitulah perjalanan 1000 langkah DAP dimulai dengan satu langkah. Mereka tahu mereka tidak boleh bersendirian kerana mereka adalah golongan minoriti.
Dalam apa juga keadaan, hadkan kerugian anda. Inilah yang DAP lakukan apabila terkait dengan kepentingan bangsa mereka. Mereka akan berkeras mempertahankan bangsa mereka walaupun berisiko kehilangan undi orang-orang Melayu. Mereka tidak akan mengejar keuntungan dengan risiko kerugian. Apa yang mereka miliki sekarang, sokongan padu orang-orang Cina, tidak akan digadaikan dengan berlembut ke atas orang-orang Melayu semata-mata mahukan undi. Itulah modal mereka. Apabila mereka berlembut, orang-orang Cina akan meragui mereka.
Hiduplah dalam realiti. Anggarkan kekuatan anda dan jangan berharap lebih daripada kemampuan yang anda ada.
DAP sedar bahawa mereka hanyalah mewakili golongan minoriti. Mereka tidak dapat memerintah sendirian. Itulah had kekuatan mereka. Mereka sedar perkara ini. Jadi, mereka bertindak atas kesedaran ini.
Pepatah Melayu menyebut, bersatu teguh bercerai roboh. Mereka akan menjaga keutuhan pakatan ini. Mereka tidak akan tamakkan sokongan kaum lain sehingga menggadaikan sokongan bangsa mereka.
Kerana itu jika anda melihat pemimpin-pemimpin mereka tidak akan bertoleransi apabila berhadapan kepentingan-kepentingan bangsa mereka, bahkan mereka keras terhadap orang-orang Melayu.
Sekali pandang ia akan merugikan DAP. Sebenarnya tidak. Perlakuan-perlakuan keras dan biadap ke atas bangsa lain ini adalah untuk menunjukkan kepada bangsa mereka bahawa mereka adalah kuat dan tidak akan tunduk kepada bangsa lain. Hal ini untuk menyakinkan kepada bangsa mereka bahawa DAP boleh diharapkan.
Ya, anda tentu baru faham kenapa sebahagian besar pemimpin DAP sangat biadap dan angkuh mempertikai agama islam dan orang-orang Melayu.
Jika anda tidak dapat menjual sesuatu barang kerana faktor bangsa anda, gunalah jurujual bangsa lain.
Apabila DAP telah berjaya menyakinkan dan menyatukan bangsa mereka, tugas kedua adalah mendapatkan sokongan orang-orang Melayu tanpa menggadaikan kepentingan bangsa mereka.
DAP sedar bahawa mereka tidak mungkin diterima seratus-peratus oleh orang-orang Melayu maka mereka menggunakan orang-orang Melayu sebagai jurujual mereka. Hari ini politikus- politikus Melayu pembangkang bertungkus-lumus mahu menjadi jurucakap DAP.
Antara tindakan terbaru mereka adalah mengangkat Tun Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri Sementara. Ia adalah adalah salah satu maksud ungkapan bijaksana itu.
Jadi, anda fikir DAP hairan jika Pakatan Harapan kalah lagi? Tidak. Mereka sedar kekuatan mereka. Jika dalam perniagaan kita tidak boleh mengharapkan untung yang besar dengan menggunakan modal yang kecil.
PRU14 mungkin mereka masih gagal menumbangkan kerajaan. Mereka sedar perkara itu. Perjuangan mereka bukan untuk sehari, tetapi masa hadapan yang jauh. Ia sedikit demi sedikit.
Halangan terbesar mereka adalah sikap kebangsaan orang-orang Melayu. Sebahagian besar orang-orang Melayu bersikap kebangsaan yang tidak dapat menerima bangsa lain sebagai pemimpin mereka.
Untuk mengubah budaya sesebuah bangsa, ubahlah pemikiran mereka.
Jadi, jika anda dapat menangkap peristiwa-peristiwa yang berlaku di negara hari ini, anda akan melihat beberapa percubaan untuk membebaskan orang-orang Melayu dari sifat kebangsaan mereka itu.
Apabila sifat-sifat ini tercabut daripada orang-orang Melayu, dan mereka mulai berfikiran terbuka, mereka tidak akan peduli lagi berkenaan agama dan bangsa mereka.
Beberapa NGO yang berfahaman liberal, sekular dan plural adalah sekutu DAP dalam mengubah politik Malaysia hari ini. Antara mereka sebenarnya saling mendapat faedah daripada keadaan ini. DAP memanipulasi NGO-NGO ini untuk menguasai politik Malaysia, dan NGO-NGO ini menggunakan kuasa politik DAP untuk mengubah pemikiran rakyat Malaysia menjadi manusia sekular yang terpisah daripada akar agama mereka.
Contohnya, sesuatu yang taboo suatu masa dahulu seperti gay atau LGBT mulai dibiasakan dalam kehidupan orang-orang Melayu.
Tidak mustahil suatu masa nanti DAP akan membentuk parti mereka menjadi seperti Barisan Nasional tanpa perlu bergabung dengan mana-mana parti apabila pemikiran orang-orang Melayu sudah berubah dan boleh menerima DAP.
Itulah tipu daya dan muslihat DAP yang sebenar. Tindakan-tindakan DAP itu sebenarnya berdasarkan strategi dan falsafah yang telah lama wujud dalam sejarah manusia, cuma ia disesuaikan mengikut keadaan semasa. Sumber - Azman Hussin (mysuara.net)
Post a Comment