Header Ads

Ketua Polis Tidak Akan Minta Maaf Atau Letak Jawatan

Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak akan memohon maaf kepada keluarga Aminulrasyid Amzah, dan tidak akan meletak jawatan.

Beliau menegaskan perkara itu dalam sidang media pada Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-209 Tahun 2016, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), hari ini.

“Pasal (kenapa) apa pula saya hendak mohon maaf. Saya tidak akan mohon maaf,” ujarnya ringkas.

Semalam, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu Khalid mengambil tanggungjawab di atas perbuatannya dan memohon maaf secara terbuka kepada keluarga Aminulrasyid.

Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Khalid bersalah dan memerintahkannya untuk membayar ganti rugi RM100,000 bagi kemungkiran awam yang dilakukan oleh Khalid yang ketika itu Ketua Polis Selangor.

Ini berikutan kenyataan Khalid yang dibuat sehari selepas berlakunya kematian Aminulrasyid dengan mendakwa, polis telah menemui sebilah parang dan mendakwa Aminulrasyid cuba melanggar kereta polis.

Aminulrasyid Amzah, 15, ditembak mati anggota peronda polis berhampiran rumahnya dalam satu kejadian kejar-mengejar berkereta di Shah Alam pada jam 2 pagi, 26 April 2010. Menurut laporan kejadian, arwah memandu kereta Proton Iswara milik kakaknya tanpa berlesen, dan melarikan diri daripada polis ketika diarah berhenti.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen mahu Khalid mengambil tanggungjawab dan melepaskan jawatan, kerana melindungi pagawai bawahan yang didapati bersalah akan kematian Aminulrasyid.

Khalid bagaimanapun menepis gesaan itu.

“Semua dia (pihak yang mendesak letak jawatan) hendak saya letak jawatan. Setiap kali minta saya letak jawatan. Dia bukan saya punya tauke (bos),” katanya tegas.

No comments