Pemimpin Jangan Amal Rasuah – Sultan Selangor
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan golongan pemimpin untuk tidak mengamalkan rasuah dan salah laku dalam pentadbiran kerajaan.
Bertitah di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat DUN Selangor yang ke-13, pagi tadi, Baginda mahu golongan tersebut mengambil tauladan keruntuhan Empayar Rom akibat sikap pemimpinnya yang mengamalkan rasuah secara berleluasa.
“Khazanah negara yang dianugerahkan oleh Allah SWT pasti akan pupus sekiranya para pemimpin bergelumang dengan amalan rasuah, salah guna kuasa dan tamak haloba yang hanya memerah keringat rakyat. Hawa nafsu manusia tidak ada batasnya.
“Bagaimana Empayar Rom yang begitu besar, kuat dan gemilang, runtuh dan hancur akibat budaya rasuah dan fitnah-memfitnah yang berleluasa dan menjadi barah di kalangan pimpinan tertinggi akibat gaya kehidupan bermewah-mewah,” titahnya.
Sementara itu Baginda juga menitahkan agar kerajaan negeri mengambil langkah proaktif menangani bencana alam, terutamanya dalam cuaca panas yang ekstrim dan kering kini agar tidak memberi kesan kepada rakyat dan ekonomi.
“Beta berkenan menitahkan supaya Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengurus sumber air negeri secara holistik ke arah kesejahteraan sejagat.
“Ini penting bagi memastikan sumber air mentah yang mencukupi di semua empangan untuk memastikan bekalan air bersih bagi kegunaan rumah dan industri tidak tergendala,” demikian titah Baginda.
Dalam pada itu kerajaan negeri mencatatkan peningkatan peratusan belanja pembangunan kepada 50 peratus dan mengurangkan belanja mengurus sebanyak 50 peratus, sekaligus menjadikan lebihan hasil bernilai RM577 juta.
Rizab negeri juga meningkat kepada RM3.4 bilion, menjadikan ia paras terbaik yang pernah dicapai berbanding sebelum ini.
Post a Comment