Header Ads

Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Sokong Kepimpinan Najib




Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) hari ini menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengemudi pentadbiran negara ke arah negara maju.

Presiden PKMM Datuk Mokhtar Samad berkata di bawah pimpinan Najib, golongan kontraktor di negara ini telah mendapat pelbagai manfaat dan peluang daripada pihak kerajaan.

"Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, hari ini kita boleh melihat pelbagai projek besar yang melibatkan kontraktor Bumiputera seperti pembinaan Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT).

"Penubuhan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) juga misalnya telah berjaya membuka peluang perniagaan melalui pelbagai program dan inisiatif kepada usahawan bumiputera," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mokhtar berkata keputusan menyokong kepimpinan Najib itu dibuat selepas persatuan berkenaan mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasa persatuan pada 14 Mac lepas dengan mereka sebulat suara menyatakan sokongan.

"PKMM merupakan ahli bergabung Barisan Nasional (BN) dengan 60,000 keahlian, dan kami berpendapat bahawa tindakan segera perlu diambil terhadap mereka yang terlibat dengan 'Deklarasi Mahathir' yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan Najib sebagai perdana menteri.

"Tindakan mereka yang mendesak Datuk Seri Najib meletakkan jawatan tidak mewakili suara 31 juta penduduk Malaysia," katanya.

Mohktar berkata tindakan kumpulan itu dilihat seolah-olah cuba membunuh prinsip demokrasi iaitu Najib telah mendapat mandat daripada majoriti pengundi pada pilihan raya umum lepas.

-- BERNAMA

No comments