Header Ads

TMJ Sifatkan Tun Mahathir Sebagai Tamak Haloba, Gila Kuasa

Tun Mahathir TMJ

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata beliau tidak akan melupakan sejarah hitam yang pernah melanda antara istana Johor dengan kerajaan persekutuan ketika pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tunku Ismail melalui posting di Johor Southern Tigers hari ini berkata ekoran krisis perlembagaan tersebut pelbagai insiden telah dilakukan oleh pihak-pihak tertentu bertujuan untuk memalukan Istana Johor.

“Saya tidak akan lupa krisis perlembagaan yang berlaku pada tahun 1992. Saya masih ingat bagaimana keluarga saya telah dilayan oleh pegawai-pegawai kerajaan persekutuan.

“Saya masih ingat perkara-perkara seperti percubaan untuk membubarkan Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Ahli Exco Johor diberitahu untuk tidak menyambut Almarhum nenda saya di lapangan terbang, bagaimana JKR telah diberitahu untuk tidak membaikpulih dan memulihara segala apa-apa yang ada di Istana-istana Johor.

“Malah Bonda saya juga ditahan oleh kastam Malaysia sewaktu kembali ke Johor dari Singapura. Bonda saya diarah melangkah keluar dari kenderaan kerana mereka mahu memeriksa kenderaan dengan terperinci. Saya masih ingat segala-galanya dan saya masih ingat kepada individu-individu yang bertanggungjawab,” ujarnya memetik kenyataan status tersebut.

Melalui status yang sama Tunku Ismail turut menyifatkan Tun Mahathir sebagai seorang pemimpin yang gila kuasa kerana cuba memanipulasi rakyat demi kepentingan diri sendiri.

“Ini semua perkara lama. Allah Maha Besar dan hukum karma adalah suatu perkara yang indah. Pada hari ini, hubungan kerajaan dan Kerabat Diraja Johor berada di dalam keadaan baik. Saya menghargainya. Saya berharap ianya bukan hanya sekadar disebabkan kerana anda amat memerlukan kami.

“Memang baik sekiranya anda sedar bahawa kita saling memerlukan antara satu sama lain. Tetapi pada pendapat saya pada masa ini, tumpuan harus diberikan untuk memperbetulkan kesilapan dan mencapai kemajuan dalam negara.

“Saya berharap agar sejarah hitam yang anda lakukan atas desakan tamak haloba dan sikap gila kuasa tidak akan berlaku lagi. Jangan manipulasi rakyat demi kepentingan diri sendiri kerana anda dilantik untuk berkhidmat kepada rakyat.

Saya berdoa agar kita boleh memberikan tumpuan untuk menjadikan negara kita ini tempat yang lebih baik pada masa akan datang, demi rakyat,” tegas Tunku Ismail lagi.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, namun majoriti pengikut Tunku Ismail yakin ia di tujukan kepada Tun Mahathir yang merupakan perdana menteri pada ketika itu.

Malah pakar perlembagaan negara, Profesor Dr Abdul Aziz Bari sebelum ini pernah membidas tindakan Tun Mahathir meminda perlembagaan supaya undang-undang baharu boleh digubal tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong pada 1983 sehingga mencetuskan krisis.

Menurut Aziz lagi, pada 1993, Dr Mahathir turut melucutkan kekebalan raja-raja Melayu agar boleh diheret dan dibicarakan di mahkamah khas serta menganjurkan perhimpunan di seluruh negara bagi membidas raja-raja Melayu. 


No comments