Header Ads

Lawan 3 Penjuru? PAS Sedia Bertembung Dengan BN, PH Dalam PRK Sungai Besar

Iskandar Abdul Samad

SHAH ALAM – Pas Selangor tidak akan berkompromi terma­suk menyerahkan kerusi Parlimen Sungai Besar untuk ditandingi oleh mana-mana parti pembangkang lain sekiranya berlaku pilihan raya kecil di kawasan itu.

Perkara itu ditegaskan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad yang menyatakan, Parlimen Sungai Besar merupakan kerusi tradisi yang ditandingi Pas dan tidak boleh diserahkan kepada parti pembangkang lain sewenang-wenangnya.

“Itu (kawasan Parlimen Sungai Besar) adalah kawasan tradisi kita bertanding. Kita telah bertapak di situ sejak 1950-an lagi. Kita pernah menang di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum 1999,” kata­nya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau mengulas pendirian Pas Selangor sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar selepas penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon daripada Barisan Nasional (BN) maut bersama-sama lima lagi penumpang termasuk suami, Asmuni Abdullah dalam nahas helikopter terhempas di Sarawak, Khamis lalu.

Dalam masa sama, Iskandar yang juga Naib Presiden Pas ketika ditanya kemungkinan berlaku pertandingan tiga penjuru termasuk DAP meletakkan calon Melayu jika ada pilihan raya kecil memberitahu, pihaknya tiada masalah untuk berhadapan ke­adaan sedemikian.

“Kita akan tetap bertanding di kerusi Parlimen itu. Itu kerusi kita tandingi sejak sekian lama. Kita tidak akan tarik diri,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Pre­siden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan, masih terlalu awal untuk mereka membincangkan soal calon yang bakal diketengahkan di kawasan ber­kenaan.

“Kita (PKR) akan bincang (de­ngan DAP dan PAN),” ujarnya.

Polemik antara parti dalam pakatan pembangkang semakin ketara ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 yang berlangsung baru-baru ini apabila masing-masing enggan beralah berkaitan soal calon.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Parlimen Sungai Besar dimenangi Noriah dengan majo­riti sebanyak 399 undi mengatasi pencabarnya, Mohd. Salleh M. Husin daripada Pas. – Utusan