Pertelingkahan PKR Dengan DAP Di Pulau Pinang Berterusan
PULAU PINANG – Pertelingkahan membabitkan PKR dan DAP dijangka berterusan susulan empat usul yang dikemukakan tiga wakil rakyat PKR untuk dibahas dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ditolak Kerajaan DAP Pulau Pinang.
Speaker DUN, Datuk Law Choo Kiang berkata, empat usul berkenaan membabitkan dua yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin serta masing-masing satu usul daripada Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk) dan Ong Chin Wen (PKR-Bukit Tengah).
Dalam masa sama, Choo Kiang mengesahkan usul kontroversi yang dibawa ADUN Tanjung Bungah daripada DAP, Teh Yee Cheu berkenaan mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal turut ditolak.
“Antara sebab penolakan usul berkenaan adalah kerana tidak dimasukkan dalam susunan mesyuarat atau ditolak kerana tidak mengikut peraturan melibatkan isu teknikal.
“Selain itu, saya mendapati usul yang dibawa Norlela boleh dirujuk terus kepada Jawatankuasa Tetap, namun beliau masih mahu dibahaskan serta diundi dalam DUN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat sidang DUN oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas, di sini semalam.
Difahamkan kedua-dua usul Norlela yang ditolak itu membabitkan kajian tambakan laut di selatan negeri ini untuk membina tiga buah pulau buatan.
Turut ditolak adalah usul supaya Jawatankuasa Tetap membuat rumusan peruntukan RM100,000 setahun yang diberi kepada Pejabat Tanah Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dianggap tidak mencukupi untuk projek kesejahteraan rakyat berbanding kutipan melebihi RM100 juta.
Mengulas lanjut, Choo Kiang yang juga ADUN Bukit Tambun berkata, beliau sebelum ini memberi ‘keistimewaan’ kepada Norlela supaya membawa terus usul berkenaan kepada Jawatankuasa Tetap.
“Berkenaan usul oleh Chin Wen, Khai Loon dan Yee Cheu pula, usul mereka ditolak kerana tidak mengikut peraturan dan membabitkan isu teknikal,” katanya.
Keempat-empat ADUN yang ditolak usul mereka itu merupakan wakil rakyat yang dilihat ‘berhaluan kiri’ dan sering tidak sealiran dengan Kerajaan DAP Pulau Pinang.
Dalam sidang DUN lalu, kesemua ADUN PKR berkenaan mencetuskan kemarahan Kerajaan DAP Pulau Pinang selepas berkecuali dengan usul ADUN Barisan Nasional (BN) untuk menghentikan semua projek tambak laut di negeri ini.
Berikutan itu, perkhidmatan Chin Wen dalam syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang sebagai Pengarah Penang Invest dan Island Golf Properties Bhd. ditamatkan.
Turut menerima nasib sama ialah ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng yang ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah di Perbadanan Bukit Bendera.
Sementara itu, Norlela dalam sidang DUN lalu juga menarik perhatian banyak pihak selepas menangis teresak-esak ketika sesi perbahasan selepas mendakwa Kerajaan DAP Pulau Pinang mengabaikan masalah rakyat di kawasan yang diwakilinya. – Utusan
Post a Comment