Header Ads

Dr Mahathir Wajar Ambil Iktibar Kemenangan BN Di PRK - Tun Abdul Hamid

Post Pic

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang memberikan kemenangan bergaya kepada Barisan Nasional (BN), wajar diambil iktibar oleh penggerak Deklarasi Rakyat Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Nasihat itu disuarakan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang mahu melihat Melayu bersatu dan bukan terus bercakaran.
 
Selaku bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir ujar beliau, tidak seharusnya merosakkan integriti dan pencapaian yang diperoleh sepanjang hayatnya dengan memilih arah bertentangan di penghujung jalan.
 
"Janganlah menyusahkan orang untuk terus menghormati beliau. Lebih baik Dr Mahathir berehat supaya orang boleh terus menghormatinya," katanya dalam satu kenyataan.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, sabtu lalu.
 
Dalam pada itu ujarnya, kemenangan dengan majoriti yang besar BN di kedua-dua parlimen itu bukan 'lesen' untuk pemimpin Umno-BN mendabik dada atau bongkak dengan kejayaan itu, sebaliknya perlu berterima kasih kepada pengundi.
 
Tambahnya, kealpaan atau sikap sombong tersebut boleh mendorong orang ramai berasa meluat dan tidak mustahil mereka akan menolak BN.
 
Tambahnya lagi, kemenangan tersebut juga merupakan satu peringatan dan juga manifestasi para pengundi kepada kepemimpinan parti agar segera membersihkan diri daripada imej rasuah bagi meraih seramai mungkin sokongan rakyat terutama orang Melayu.
 
"Apabila BN kembali kuat, pengundi bukan Melayu terutama masyarakat Cina akan membuat perhitungan untung-rugi semula dan keadaan ini mungkin akan mengubah pendirian mereka untuk mengundi BN semula kerana mereka takut rugi," ujar beliau. 
 
Pada PRK Sabtu lalu, BN menang dengan majoriti lebih besar apabila meraih majoriti 6,969 undi berbanding 1,082 undi pada PRU13 lalu di Sungai Besar.
 
Manakala di Kuala Kangsar pula BN memperoleh majoriti 9,191 undi berbanding majoriti 399 undi pada 2013.