Header Ads

Ego Punca Pembangkang Kecundang PRK P.093 Sungai Besar dan P.067 Kuala Kangsar.

Post Pic

Berpedomankan keputusan pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, bolehkah dirumuskan bahawa kini Barisan Nasional (BN) bertambah kukuh? Atau sebenarnya adakah pihak pembangkang – PAS dan Pakatan Harapan – semakin lemah?
 
Hakikatnya ialah kedua-dua calon BN – Budiman Zohdi dan Mastura Yazid – menokok berkali-kali ganda majoriti parti kerajaan itu berbanding undi yang diperolehi oleh dua ahli parlimen yang terbunuh dalam nahas helikopter 5 Mei lalu.
 
Datin Mastura Yazid mencatat majoriti 6,969 undi parlimen P.67 Kuala Kangsar untuk mengisi kerusi Allahyarham suaminya, Datuk Wan Khair-il Mohamad yang menang dengan majoriti 1,082 pada Pilihanraya Umum (PRU) 2013.  
 
Beliau menundukkan calon PAS Dr Najihatussolehah Ahmad (5,684 undi ) dan wakil Parti Amanah Negara (PAN) Dr Ahmad Termizi Ramli (4,883 undi). Calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary mendapat hanya 54 undi.
 
Pencapaian Mastura ini adalah amat baik bila mengambil kira beliau tidak boleh keluar berkempen kerana tertakluk pada hukum iddah. Ia juga ia menyerlahkan kecekapan Umno-BN menggunakan teknologi maklumat sepenuhnya.
 
Selain itu, ia menyaksikan juga kebenaran bidalan bagai “kuah tumpah ke nasi” anak-anak lelaki Mastura yang ligat berkempen untuk ibu mereka dan mahu menghidupkan legasi kepimpinan ayahanda mereka.
 
Kejayaan Budiman juga cemerlang. Berbanding Allahyarhamah Tan Sri Noriah Kasnon, beliau mencatat majoriti 9.191 undi berbanding dengan kemenangan Noriah pada PRU 2013 yang mencatat majoriti tipis 399 undi sahaja. 
 
Sebaliknya, segala cakap-cakap besar mereka “mampu membuat kejutan” PAS dan PAN berakhir seperti tragedi dalam pilihanraya negeri Sarawak bulan lalu bagi kedua-dua parti yang mendakwa berjuang atas wadah politik Islam. 
 
Budiman memperolehi 16,800 undi berbanding calon PAS Dr Abdul Rani Osman yang memungut 6,902 undi dan calon PAN, Azhar Abdul Shukor yang menerima 7,609 undi. 
 
Prestasi PAN adalah mengecewakan mengambil kira bahawa ia mendapat sokongan lebih seratus daripada DAP dan PKR. 
 
Penasihat DAP, Lim Kit Siang sanggup menyarung kemeja-T berwarna jingga PAN untuk meyakinkan pengundi Cina bahawa PAN adalah rakan sejati  DAP.
 
Namun usaha yang kelihatan berpura-pura itu masih gagal menyanggah kempen rakan Umno, MCA, bahawa PAN sebenarnya adalah PAS yang bersalin warna kulit dari hijau ke oren sahaja. 
 
Malah PKR juga berusaha berhabis-habisan dan sanggup mengenakan ‘gencatan senjata’ di antara kabilah-kabilah yang bertikai yang diketuai Presiden dan Timbalan parti itu untuk membuktikan sokongan bulat pada calon PAN.
 
Kepura-puraan itu dapat dihidu pengundi. Natijahnya walaupun PAS bergerak sendirian, PAN dan konco-konconya itu tidak boleh mendakwa ia lebih diterima oleh rakyat. Malah trend yang terzahir ialah PAN hanya bidak DAP dan PKR sahaja.
 
Yang pasti pembangkang nampaknya kecundang kerana membelakangi formula kemenangan yang telah teruji ampuh dalam dua PRU – 2008 dan 2013 – strategi satu lawan satu. Kali ini kerana irihati dan ego, pembangkang gagal mengelakkan pertembungan tiga penjuru. 
 
Jika digabung undi pembangkang – Pas + PAN  tentu ia akan mencemaskan BN. Di Sungai Besar majoriti BN ke atas pembangkang hanya 2,289 sahaja jika yang ditampilkan hanya seorang calon. Di Kuala Kangsar pula majoriti BN boleh dikurangkan kepada 2,086 sahaja.
 
Malah jika ada tolak ansur dan kerjasama di antara PAS dan Pakatan Harapan (PH) mungkin calon tunggal mereka akan meraih dividen sokongan lebih besar kerana kelihatan berjiwa besar dan tidak menganggap kedua-dua PRK ini sebagai satu eksperimen politik.
 
Persoalannya sekarang ialah, mampukah PH memperbaiki formula ‘satu lawan satu’ ini untuk menghadapi PRU ke-14?. Bolehkah PH kurangkan ego dan memberi penghormatan wajar pada PAS supaya terbuka pintu hatinya kembali bersama DAP, PKR dan PAN?
 
DAP sebelum ini galakm menyerang pemimpin PAS tanpa adab. PAS bertindak balas. Sikap buruk ini kemudian ditiru oleh timbalan presiden PKR, Azmin Ali yang menyindir presiden PAS secara terbuka kononnya, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang tidak tahu apa yang berlaku dalam partinya sendiri.
 
Jika tabiat buruk dan ego besar DAP dan PKR ini tidak dikikis, masa depan pembangkang akan lebih suram. Rakyat tidak mahu ‘lari dari mulut harimau dan terjun ke mulut buaya’. 
 
Lebih baik mereka berkerajaankan BN yang bengis daripada pembangkang yang angkuh dan tidak tahu menghormati rakan taulan sendiri. 
 
Bagaimanapun jika perangkaan boleh bercakap tentu ia membisikkan orang yang paling kecewa dengan keputusan dua PRK berkenaan ialah Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu menjadikan PRK kali ini sebagai pungut suara (referendum) rakyat. 
 
Beliau mahu jika BN tumpas, ia boleh dijaja sebagai isyarat rakyat mahu menukar kerajaan, terutama perdana menteri sekarang, Datuk Seeri Najib Razak.
 
Ini tidak berlaku walaupun beliau yang mempunyai nama besar bukan hanya sebagai perdana menteri paling lama memimpin Malaysia selama 22 tahun dan mempunyai reputasi disegani di seluruh dunia, perancangannya kali ini gagal. 
 
Keputusan PRK berkenaan tidak mengabsahkan kempen Deklarasi Rakyat malah sebaliknya memudaratkan peluang dan masa depan pembangkang kerana “dipimpin” oleh seorang lelaki angkuh yang tidak segan mengaku dirinya  seorang diktator. 
 
Faktor kecelaruan dalam barisan pembangkang adalah punca terbesar kekalahan mereka dalam kedua-dua PRK. Parti-parti bekenaan perlu membuktikan pada rakyat bahawa jika menang PRU 14 ia akan lebih berpadu berbanding BN dan bukan berterusan dengan kesombongan.
 
Malah pembangkang perlu mengambil iktibar cara BN menguruskan masalah perbezaan pandangan di kalangan anggotanya. 
 
Meskipun dihimpit ketidakselesaan berhubung isu natijah pembentangan pindaan usul persendirian Rang Undang-undeang pindaan kuasa Mahkamah Syariah, isu itu tidak melimpah ke dalam kempen PRK kali ini.
 
Kawalan diri dan ego dilakukan dengan baik.  Ini amat berbeda dengan politik bengis dan ego pembangkang yang menghamburkaqn ketidak selesaan terhadap parti rakan yang lain secara terbuka mungkin ingin membuktikan lebih demokratik. 
 
Hakikatnya, PAN masih jauh malah tidak mungkin mampu menggantikan PAS dan menghadiahkan undi Melayu pada pembangkang. Ini kerana segmen yang “cinta Islam” dalam profil pengundi Melayu tidak tertarik dengan citra PAN.
 
PAN perlu lebih zuhud dan mengutamakan soal melakukan kerja kebajikan lebih banyak untuk rakyat. Ia harus menabur budi terlebih dahulu dan bukan mendabik dada “pandai berpolitik dan bijak berdebat soal demokrasi”.
 
PAS dan PH perlu menerima hakikat bahawa “nasi sudah menjadii bubur’ di Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Jika mereka tidak mahu keadaan lebih memburuk selepas PRU 14, belajarlah untuk lebih zuhud dan tawaduk. 
 
Mereka harus insaf bahawa undi rakyat ialah keramat. Ia tidak boleh dicemar dengan lagak ‘lebih sudu dari kuah’ dalam soal politik. Jika benar menghormati prinsip demokrasi, usah bertuankan ego masing-masing. -ap