Header Ads

PRK P.093 SUNGAI BESAR : Budiman Gesa UsahawanTempatan Mulakan Perniagaan Melalui Pembiayaan Tekun



SUNGAI BESAR – Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi menggesa usahawan kecil dalam Parlimen itu memanfaatkan sepenuhnya pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional bagi memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.
Budiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, berkata dengan adanya pinjaman Tekun itu akan membantu ramai pengusaha produk tempatan untuk lebih maju, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat kampung.
“Pinjaman ini macam nak mulakan perniagaan baru tapi tak perlu modal besar, boleh mulakan perniagaan kakak-kakak dan abang semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Usahawan Tekun bersama penduduk Sungai Besar, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Nogeh Gumbek dan Pengerusi BN Selangor yang juga Pengarah PRK Parlimen Sungai Besar, Tan Sri Noh Omar.
Budiman turut memuji niat murni Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon, yang merupakan bekas Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, yang cukup menitikberatkan perjuangan usahawan Tekun di Sungai Besar.
“Arwah cukup prihatin dengan mereka (usahawan) ini, maka saya kena teruskan legasi arwah itu. Itulah harapan saya untuk membantu petani, usahawan, nelayan dan sebagainya,” kata beliau.
Pada majlis itu, Nogeh turut menyampaikan cek pembiayaan berjumlah RM1.2 juta kepada 61 usahawan dalam Parlimen Sungai Besar.
Mengulas mengenai PRK Sungai Besar yang menyaksikan Budiman bakal berdepan calon PAS dan Amanah pada 18 Jun ini, Nogeh optimis Budiman mampu mengekalkan kerusi Sungai Besar menjadi milik BN berdasarkan personalitinya yang cukup disenangi penduduk.
“Saya yakin sekiranya beliau menang, mesti dia turut akan utamakan program pertanian sepertimana Tan Sri Noh Omar yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, yang banyak mewujudkan program pertanian di sini,” katanya. – Bernama