PRK P.093 SUNGAI BESAR : "Saya YB Sepanjang Masa" – Budiman
SABAK BERNAM – Bukan seminggu sekali atau dua bulan sekali, tetapi sepanjang masa.
Itulah tekad calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi, 44, untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasannya.
Sambil menyifatkan kemenangan dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar 18 Jun ini hadiah paling bermakna buatnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu berkata, sebagai anak tempatan, beliau sentiasa berada dalam kawasannya dan sedia berjumpa rakyat yang memerlukan khidmatnya.
“Saya sentiasa ada di Sungai Besar.
“Kalau ke Parlimen (jika menang PRK ini) pun, saya akan tetap pulang ke rumah di Sungai Besar dan bertemu penduduk. Berapa jauhlah sangat (bangunan) Parlimen dengan Sungai Besar,” katanya.
Semalam, calon Pas, Dr. Abdul Rani Osman, 58, berjanji akan turun padang seminggu sekali jika menang kerusi Parlimen Sungai Besar dalam PRK kawasan itu 18 Jun ini.
Sebelum ini, calon PAN, Azhar Ab.Shukur, 51, dalam ceramahnya berjanji akan turun ke kawasannya dua bulan sekali jika memenangi kerusi sama.
Budiman menambah, jika memenangi kerusi itu nanti, beliau akan memperluaskan khidmat sedia ada dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang hingga Parlimen Sungai Besar.
“Saya akan buat penambahbaikan, tambah kakitangan dan sebagainya.
“Tugas hakiki di DUN tetap diteruskan tapi pada masa sama, saya akan menjadi mediator antara rakyat dan Kerajaan Pusat dalam Parlimen,” ujarnya - Utusan Malaysia
Post a Comment