“Saya Sendiri Bakal Hilang 6000 Pengundi” – Annuar Musa
KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dibuat oleh pihak pembangkang yang mendakwa UMNO terlibat dalam soal proses persempadanan semula yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia.
Menurut beliau, tuduhan tersebut sengaja diada-adakan oleh pihak pembangkang bertujuan untuk membangkitkan rasa curiga rakyat terhadap UMNO dan juga badan tersebut.
“Kita juga menerima banyak aduan dan rasa tidak puas hati di kalangan kepimpinan UMNO itu sendiri di peringkat bahagian yang tidak bersetuju dengan proses persempadanan semula yang melibatkan kawasan tertentu.
“Sebagai contoh, kawasan saya sendiri apabila SPR mempamerkan syor persempadanan semula itu, saya dapati bahagian saya telah kehilangan lebih daripada 20 cawangan. Ini bermakna saya juga bakal kehilangan lebih 6 ribu pengundi di kawasan saya, termasuk PDM kampung saya sendiri.
“Bayangkan PDM kampung saya sendiri, di mana saya merupakan ahli parlimen dan juga ketua bahagian di kawasan tersebut. Dan saya sebelum ini juga tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pegawai SPR untuk memaklumkan perkara ini dan ini membuktikan kita(UMNO) tidak terlibat dalam mengatur perkara ini,” jelasnya dalam satu sidang media Menara Dato di sini hari ini.
Beliau juga menegaskan bahawa apa yang perlu difahami ialah apa yang dipamerkan oleh SPR itu adalah syor iaitu cadangan di bawah skop dan bidang kuasa oleh badan tersebut.
Manakala pelaksanaannya pula mesti melalui satu proses yang telah termaktub dalam peraturan dan mendapat tindak balas daripada parti-parti yang terlibat.
“Mana-mana bahagian UMNO yang tidak berpuas hati dengan persempandanan semula yang disyorkan oleh SPR hendaklah mengemukakan bantahan mengikut saluran-saluran yang telah ditetapkan.
“Memang ada banyak bantahan daripada UMNO itu sendiri dalam soal persempadanan semula itu”, ujarnya.
Namu jelas beliau pada setiap 10 tahun, sepertimana yang termaktub di dalam perlembagaan, SPR telah diberikan kuasa untuk mencadangkan persempadanan dan penambahan kerusi.
“Jadi dakwaan atau tuduhan yang mengatakan persempadanan ini UMNO terlibat adalah sesuatu yang sengaja diada-adakan,” tegasnya.
Sementara itu, Annuar mengalu-alukan tindakan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal yang kini dalam proses mengaktifkan sebuah parti baru.
“Saya fikir kita harus mengalu-alu tindakan tersebut kerana dalam sistem negara kita telah memberikan kebebasan untuk mana-mana pihak untuk mendaftar parti politik. Apa yang penting ialah mereka berdaftar sebagai sebuah parti politik yang sah.
“Kalau itu sistem yang telah kita terima, maka sesiapa yang membuka parti politik kita harus alu-alukan, supaya dengan itu mereka boleh mengambil bahagian dalam proses demokrasi secara berperaturan.
“Dan saya dapat memahami, seperti mana Datuk Shafie Apdal, beliau merupaka seorang ahli politik. Jadi apabila dia tidak lagi berada di dalam UMNO, beliau memerlukan satu parti politik. Mungkin dia tidak berapa setuju dengan parti Tan Sri Muhyiddin jadi beliau memerlukan satu parti lain untuk beliau bertapak,” ujarnya.
Beliau juga menolak pandangan bahawa lebih banyak parti politik menyebabkan berlakunya pecah belah di kalangan rakyat, bahkan di negara ini sememangnya telah wujud banyak parti politik sebelum ini.
“Dalam Malaysia sebenarnya sudah lama wujudnya banyak parti politik. Jadi tidak timbul soal pecah belah. Biarlah rakyat memilih. Kita bukan macam US di mana rakyatnya hanya diberi peluang untuk memilih dua parti sahaja sama ada parti Republikan atau Demokrat.
“BN juga mempunyai 13 parti di dalamnya dan dalam negara kita, semenjak kita merdeka dulu kita telah memikirkan bahawa perlu adanya banyak parti kerana dengan kaedah sedemikian, ianya lebih sesuai dengan keadaan rakyat di negara kita yang mempunyai pelbagai kaum dan etnik,” jelasnya.-MediaUMNO
Post a Comment