Header Ads

Wajib Baca: Benarkah Chin Peng ada hak pulang ke Malaysia setelah Perjanjian Hatyai 1989


Wajib Baca: Benarkah Chin Peng ada hak pulang ke Malaysia setelah Perjanjian Hatyai 1989

SIAPA KATA CHIN PENG BOLEH MENETAP DI MALAYSIA IKUT PERJANJIAN DAMAI?

Mereka yang berhujah bahawa Chin Peng berhak untuk balik ke Malaysia mengikut Perjanjian Damai Hadyai pada 2 Disember 1989 perlu membaca dengan teliti dokumen bertajuk “Pengaturan Pentadbiran Di Antara Kerajaan Malaysia Dan Parti Komunis Malaya Selaras Dengan Persetujuan Menamatkan Permusuhan” ini.

Ini kerana Pengaturan Pentadbiran yang dipersetujui oleh Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya ini jelas menyebut:

“Mereka yang berketurunan Malaysia dan menyertai PKM dan pasukan-pasukan bersenjatanya sebelum pelaksanaan Pendaftaran Kebangsaan akan diberikan NRIC Merah sekiranya mereka dibenarkan menetap di Malaysia.”

Ini bermakna mereka yang berketurunan Malaysia sekalipun tidak diberi jaminan untuk menetap di Malaysia selepas Perjanjian Damai Hadyai ini tetapi hanya “mereka yang dibenarkan” sahaja yang boleh menetap di Malaysia.

Perlu diingat juga, ada peruntukan bahawa mereka “yang telah pulang untuk menetap di Malaysia harus taat setia kepada Yang di-Pertuan Agung dan negara dan harus mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia”.

Boleh baca petikan daripada “Pengaturan Pentadbiran Di Antara Kerajaan Malaysia Dan Parti Komunis Malaya Selaras Dengan Persetujuan Menamatkan Permusuhan” di bawah.

PERKARA 6 - KEPERLUAN UNDANG-UNDANG

6.1 Taat Setia Kepada Yang Di-Pertuan Agung Dan Negara

Anggota-anggota PKM dan anggota-anggota pasukan bersenjata yang dibubarkan pimpinannya yang telah pulang untuk menetap di Malaysia harus taat setia kepada Yang di-Pertuan Agung dan negara dan harus mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.

6.2 Tidak Ada Tahanan, Soal Siasat Atau Dakwaan.

6.2.1 Kerajaan tidak akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960, ataupun mana-mana undang-undang lainnya terhadap anggota PKM dan anggota-anggota pasukan bersenjatanya yang dibubarkan, yang telah pulang untuk menetap di Malaysia, kerana aktiviti-aktiviti lampau mereka yang berkait dengan PKM.

6.2.2 Anggota-anggota PKM dan anggota-anggota pasukan bersenjatanya yang dibubarkan akan tertakluk di bawah undang-undang Malaysia bagi sebarang aktiviti haram yang mereka lakukan pada masa hadapan.

6.3 Kewarganegaraan dan Kad Pengenalan Pendaftaran Kebangsaan (NRIC).

6.3.1 Mereka yang dulunya mempunyai NRIC biru dan merah serta sijil kewarganegaraan sebelum mereka memasuki PKM atau pasukan bersenjatanya boleh terus menggunakannya sebagai dokumen-dokumen yang sah. Sebarang dokumen demikian yang telah hilang atau rosak akan digantikan dengan segera setelah diverifikasi (diperiksa untuk pengesahan).

6.3.2 Suami/isteri dan anak-anak bukan warganegara kepada mereka yang berketurunan Malaysia yang telah menetap di Malaysia akan diberikan NRIC merah. Mereka boleh memohon untuk mendapat kewarganegaraan selepas dua tahun menetap secara terus-menerus di Malaysia menurut undang-undang Malaysia.

6.3.3 Mereka yang terdiri daripada orang asing dan mereka yang kewarganegaraannya dibatalkan akan diberikan NRIC merah sekiranya mereka dibenarkan menetap di Malaysia. Mereka selanjutnya boleh memohon untuk mendapat kewarganegaraan menurut undang-undang Malaysia.

6.3.4 Mereka yang berketurunan Malaysia dan menyertai PKM dan pasukan-pasukan bersenjatanya sebelum pelaksanaan Pendaftaran Kebangsaan akan diberikan NRIC Merah sekiranya mereka dibenarkan menetap di Malaysia. Mereka selanjutnya boleh memohon untuk mendapatkan kewarganegaraan menurut undang-undang Malaysia.

6.4 Keistimewaan Dan Kewajipan.

6.4.1 Mereka yang terdiri daripada warganegara Malaysia dan telah menetap di Malaysia akan menikmati keistimewaan-keistimewaan yang sama seperti lain-lain warganegara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.

6.4.2 Mereka yang bukan berketurunan Malaysia dan bukan warganegara yang telah menetap di Malaysia akan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.

Sumber : Kamarul Yusuf

No comments