Satu Persatu Entiti Melayu Diheret Mahathir Dalam Politik
Pengkhianatan Tun Dr Mahathir terhadap kaum Melayu di Malaysia sejak minggu lalu bukan sahaja melibatkan beberapa orang pengikutnya, malah turut mengheret sama beberapa NGO-NGO Melayu dan Islam di negara ini. Jika sebelum ini mereka bergerak atas nama Bukan Agensi Kerajaan, kini mereka lebih cenderung untuk memusnahkan kerajaan hasil daripada sumbangan Tun M sendiri.
Sebelum ini, ramai yang tertarik dengan perjuangan Persatuan Peribumi Perkasa (PERKASA) yang pada awal penubuhannya merupakan satu persatuan yang bertindak membela nasib orang-orang Melayu didalam Malaysia hari ini. Namun, semuanya berubah hasil daripada campur tangan Tun M yang secara tiba-tiba melihat PERKASA mempunyai potensi untuk digerakkan sebagai parti politik.
Malah, ketuanya sendiri, Datuk Ibrahim Ali juga dilihat kini lebih cenderung kepada politik, berlawanan dengan prinsip asas penubuhan PERKASA itu sendiri pada tahun 2008, dimana ianya ditubuhkan untuk membela nasib kaum Melayu.
Ibrahim Ali, individu yang dikenali sebagai “Raja Katak Malaysia” kerana kegemarannya untuk melompat parti hanya untuk kepentingan politik beliau, kini seolah-olah begitu giat menghasut para ahlinya untuk ditukar dari NGO kepada parti politik bagi menyaingi UMNO. Secara kebetulan, apa yang dilakukan oleh Ibrahim dan PERKASA ini mirip seperti apa yang berlaku terhadap PAS sebelum kemunculan PAN.
Siapa dapat melupakan pergerakan PASMA yang diwujudkan sebagai NGO namun berubah kepada parti politik yang kini dikenali sebagai Parti Amanah Negara (PAN). Inilah yang dilakukan oleh Ibrahim Ali dan PERKASA sebaik sahaja Tun M meninggalkan UMNO untuk kali kedua.
Agak melucukan apabila melihat PERKASA itu sendiri turut meminta bantuan kerajaan dari segi kewangan dan pergerakannya, namun kini bertindak menikam semula kerajaan hanya kerana terpengaruh dengan dakyah politik. Ia di ibaratkan seperti melepas anjing tersepit, sebaik dilepaskan, tangan kita pula digigit.
Tidak terhenti setakat itu sahaja, satu lagi NGO yang pada asalnya menyokong kerajaan turut berpaling tadah. Pertubuhan Ikhlas Malaysia (IKHLAS) juga dilihat kini lebih cenderung untuk menghentam kerajaan walaupun penubuhan NGO ini pada asasnya mendapat bantuan daripada kerajaan.
Hebat Tun M memperdayakan beberapa entiti NGO pro Melayu hari ini demi mahu mendapatkan sokongan mereka dalam gerakan songsangnya mahu menjatuhkan kerajaan. Tidak hairanlah andai satu ketika nanti, satu persatu NGO-NGO ini akan lenyap ditelan waktu akibat daripada kerakusan ketua-ketuanya sendiri yang mahu mengejar nama dalam politik.
Post a Comment